Suria FM dengan bangganya mempersembahkan drama raya 2025, yang berjudul “Hayati”, merupakan drama pertama Suria FM yang mengenengahkan genre ‘Psikologi Emosional Raya’, yang memberi tumpuan kepada betapa pentingnya isu pengurusan mental dan emosi. “Hayati” telah ditayangkan secara rasmi pada 20 Mac 2025 di platform Suria FM iaitu di Facebook Suria FM dan di YouTube Suria TV.
Menariknya tahun ini, Suria FM berkolaborasi bersama YAYA Empire Perfume dalam menghasilkan Drama Raya berdurasi 40 minit berkenaan sebuah kisah penuh emosi yang menyentuh hati, membawa penonton menyelami sebuah perjalanan jiwa yang berliku dalam usaha memaafkan diri sendiri dan menemukan kekuatan untuk melangkah ke hadapan. Kemalangan tragis pada malam raya telah mengubah kehidupan beberapa individu, memaksa mereka melalui perjalanan penyembuhan yang penuh cabaran. Dalam perjalanan ini, batas antara realiti dan imaginasi menjadi kabur, mencetuskan konflik dalaman yang mendalam. Setiap watak perlu menghadapi perasaan bersalah, mencari keberanian untuk memaafkan diri sendiri, dan akhirnya menemui kekuatan untuk meneruskan kehidupan dengan harapan baharu.
Menurut Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abd Majid (DJ Lin),
“Sejak tahun 2019 sehingga kini, Suria FM telah menerbitkan tujuh drama raya. Idea dan skrip drama “Hayati” ini telah mula digarap sejak September 2024 dan dipersetujui oleh Yaya Empire pada November 2024. Selain barisan penyampai Suria, drama raya “Hayati” turut dibintangi oleh pelakon popular, Sherie Merlis, Hasnul Rahmat, Cik Man, Anas Ridzuan dan Hawra Jamalullail. Drama ini turut menampilkan penyanyi popular Ara Johari, Adam ZBP dan juga kemunculan pempengaruh popular, Mia Azahar. Lebih istimewa lagi, kemunculan khas oleh pengasas Yaya Empire Perfume, Puan Nadia Mat Isa.Penghasilan drama raya ‘Hayati’ tahun ini,merupakan projek terbesar yang pernah dihasilkan dari sudut skala dan tempoh penggambaran. Drama ini menjalani penggambaran selama tujuh hari di sekitar Lembah Klang, dengan sebahagian besar babak dirakam pada waktu malam hingga ke awal pagi. Antara cabaran terbesar adalah penggambaran yang melibatkan babak bas, yang memerlukan masa selama tiga hari untuk diselesaikan. Keadaan cuaca yang tidak menentu juga memberi cabaran sepanjang proses penggambaran dilakukan. Meskipun begitu, tenaga produksi tetap komited dengan lebih daripada 100 individu terdiri daripada pelakon dan kru yang terlibat secara langsung dan tidak langsung.”
Pengasas Yaya Empire Perfume, Puan Nadia Mat Isa dalam kenyataannya berkata:
“ Sebagai seorang yang amat menghargai nilai seni dan budaya, saya tertarik untuk bekerjasama dengan Suria FM kerana komitmen mereka dalam menyampaikan hiburan berkualiti yang sarat dengan nilai-murni. Tema “Sebuah Perjalanan Jiwa” dalam drama ini memberikan peluang unik untuk saya menyumbang kepada pengalaman hiburan yang penuh makna, khususnya pada musim perayaan. Saya juga berharap agar drama raya “Hayati” bukan sahaja menghiburkan, tetapi juga memberi impak mendalam kepada penonton dengan mesej kekeluargaaan, emosi, kehilangan dan kasih sayang yang sering menjadi inti pati Hari Raya. Semoga drama ini dapat merapatkan jurang antara generasi dan terus menjadi ingatan bukan sahaja di musim perayaan ini, malah sepanjang masa.”
Elemen penceritaan kali ini adalah lebih mendalam dan membawa suatu kelainan daripada sebelum ini, di samping sinematografi dan pergerakan para pelakon yang dirancang dengan teliti bagi menjaga kualiti penceritaan. Drama raya “Hayati” ini diharap dapat memberi kesan kepada penonton dan yang terutama sekali, membangkitkan kesedaran bahawa kesihatan mental adalah sangat penting bagi setiap individu.
Bagi melengkapkan seluruh penceritaan “Hayati”, lagu bertajuk ‘Pentas Sandiwara’ oleh artis Fugo, diangkat menjadi lagu rasmi drama ini. Bait-bait lagu yang berkenaan sebuah kehidupan, menjadi sangat dekat dengan mesej yang ingin disampaikan melalui drama ini. Lagu ini yang julung kali diputarkan di Suria FM juga telah mula mendapat tarikan pendengar, terutamanya golongan muda. Pihak Suria FM juga telah menerbitkan muzik video khas ‘Pentas Sandiwara’ berlatarbelakangkan babak dalam drama ini.
“Hayati” bukan sekadar sebuah drama raya, tetapi sebuah cerminan emosi dan perjuangan yang dekat dengan jiwa kita semua. Jangan lupa saksikannya di platform digital Suria FM.
Written by: Nurul Shafiqah
Notifications
Post comments (0)