SELEPAS lapan hari berkampung di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur, Kejohanan Piala Sepak Takraw Asia (ASTAF) akhirnya bakal melabuhkan tirainya dengan pertemuan dua seteru iaitu Malaysia dan Thailand akan menjadi aksi terakhir di gelanggang itu pada Ahad.
Usai menewaskan India dengan keputusan 2-0, Malaysia selepas ini akan menentang Thailand bagi acara final regu berpasukan dengan ia diharapkan akan menjadi misi bersejarah untuk mengakhiri kemarau lebih tiga dekad.
Kira-kira sejam sebelum acara berpasukan bermula, penyokong sudah mula membanjiri kawasan Stadium Titiwangsa untuk memberikan sokongan kepada skuad kebangsaan dalam acara final regu berpasukan itu.





