IMPIAN Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk mencatat tiga kemenangan berturut-turut dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Elite (ACLE) lebur selepas tewas 0-2 kepada Melbourne City FC di Stadium Melbourne Rectangular, Australia pada Selasa.
Turun dengan keyakinan tinggi hasil kemenangan ke atas Chengdu Rongcheng FC (2-0) dan Shanghai Shenhua FC (3-1), Harimau Selatan dikejutkan seawal minit ketiga apabila Max Caputo menanduk masuk bola hantaran sepakan sudut Takeshi Kanamori untuk meletakkan tuan rumah di depan.
Tersentak dengan jaringan awal itu, skuad kendalian Xisco Munoz cuba memperkemas rentak permainan bagi memburu gol penyamaan.





