BEKAS penyerang kebangsaan, Zaquan Adha Abdul Radzak meluahkan rasa bangga terhadap pencapaian Ramadhan Saifullah Usman yang dipanggil menyertai kem latihan skuad Harimau Malaya, sambil menitipkan beberapa nasihat penting buat pemain muda itu.
Ramadhan, 24, merupakan antara tiga pemain dari Kuching City FC yang dipanggil oleh Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski menjelang aksi bertemu Laos dalam Kelayakan Piala Asia 2027 Oktober ini.
Bekas pemain sayap Johor Darul Ta’zim (JDT) itu kini semakin menunjukkan taring selepas menyertai The Cats musim ini dengan rekod cemerlang iaitu empat gol dan empat bantuan jaringan dalam lapan penampilan Liga Super setakat ini.





