KETUA jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski mempertaruhkan barisan terbaik menjelang aksi Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Nepal yang bakal berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Kuala Lumpur pada 18 November ini.
Klik Di Sini Untuk Artikel Penuh
Senarai 27 pemain yang dipanggil ke kem latihan pusat skuad kebangsaan kali ini menampilkan nama-nama utama seperti Arif Aiman Hanapi, Dion Cools, dan Faisal Halim sekali gus memperlihatkan kesungguhan Cklamovski memburu tiga mata penuh bagi mengekalkan kedudukan Malaysia di tangga teratas Kumpulan F.
Selain itu, barisan senarai bersedia turut menampilkan beberapa pemain berpotensi tinggi yang boleh menggantikan mana-mana pemain utama sekiranya berlaku kecederaan memperlihatkan perancangan rapi pengendali kelahiran Australia itu.
BACA LAGI: Faktor senioriti, beraksi luar negara belum tentu jamin spot Endrick Santos-Junior Eldstal

Faisal Halim (kanan) kekal pilihan utama Cklamovski dalam skuad kebangsaan. — Facebook/malaysiant
Antara yang mencuri tumpuan kali ini ialah penyerang berbisa Kuching City FC, Jordan Mintah yang sekali lagi dipanggil menyertai skuad kebangsaan.
Pemain naturalisasi itu sebelum ini turut disenaraikan menjelang perlawanan menentang Laos pada Oktober lalu, namun tidak dapat diturunkan ekoran proses dokumentasi naturalisasinya yang belum selesai.
Cklamovski sebelum ini menjelaskan bahawa isu tersebut berada di luar kawalannya kerana melibatkan urusan rasmi pihak berkuasa berkaitan proses pendaftaran pemain.
Ketiadaan Mintah dalam perlawanan pertama menentang Laos menimbulkan persoalan dalam kalangan penyokong, namun peluangnya untuk membuat penampilan pertama bersama Harimau Malaya kini dilihat semakin cerah selepas namanya kembali tersenarai dalam kelompok 27 pemain terbaru.
Walau bagaimanapun, sekiranya dokumentasi Mintah masih belum diselesaikan sepenuhnya, penyokong tidak perlu gusar kerana masih terdapat tiga pemain dalam senarai bersedia yang mampu menggalas tanggungjawab di posisi serangan utama pasukan.
1) Luqman Hakim Shamsudin
Peluang penyokong tanah air untuk melihat Luqman Hakim Shamsudin kembali menyarung jersi skuad kebangsaan semakin cerah apabila penyerang muda itu antara nama yang berpotensi dipanggil bagi mengisi posisi Mintah, sekiranya pemain naturalisasi itu belum mendapat kelulusan dokumentasi penuh.
Ketika ini, Luqman mempamerkan prestasi memberangsangkan bersama Negeri Sembilan FC (NSFC), selepas membantu pasukannya menewaskan Timor Leste 2-1 dalam aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada Ahad.
Dalam perlawanan yang disaksikan kira-kira 2,138 penonton, skuad kendalian Nidzam Jamil tampil cemerlang dengan dua jaringan Luqman pada separuh masa pertama yang memastikan kemenangan pasukan tuan rumah ke atas lawan ranking ke-197 dunia itu.

Luqman Hakim (kanan) mempamerkan prestasi cemerlang dengan mencetak dua gol bagi membantu skuad Jang menewaskan Timor Leste. — Facebook/NSFC
Kebangkitan Luqman itu dianggap sebagai perkembangan positif buat kariernya selepas tempoh panjang bergelut mencari sentuhan jaringan, selain dilihat mampu menyuntik semangat baharu dalam usaha memburu gol sulungnya dalam saingan Liga Malaysia musim ini.
Penyerang berusia 23 tahun itu kini turut berada dalam senarai bersedia skuad Harimau Malaya bagi aksi bertemu Nepal sebagai langkah persediaan sekiranya terdapat pemain utama daripada 27 nama pilihan Cklamovski terpaksa menarik diri akibat kecederaan atau faktor lain.
2) Akhyar Rashid
Tonggak lincah Terengganu FC (TFC), Akhyar Rashid antara pemain yang berpotensi besar dipanggil bagi mengisi kekosongan posisi serangan sekiranya proses dokumentasi Mintah masih belum diselesaikan sepenuhnya.
Nama Akhyar bukanlah asing dalam skuad kebangsaan, memandangkan pemain sayap berusia 25 tahun itu pernah menjadi antara watak penting dalam kempen Harimau Malaya sebelum ini.
Berdasarkan semakan di laman statistik Transfermarkt, kali terakhir Akhyar menyertai kem latihan pusat skuad kebangsaan ialah pada Mac 2025, ketika Malaysia menentang Nepal dalam aksi pertama Kelayakan Piala Asia 2027.

Pemain lincah Sang Penyu, Akhyar Rashid (kiri). — Facebook/TFC
Walaupun sebelum ini bergelut dengan masalah kecederaan, Akhyar kini kembali mempamerkan prestasi cemerlang bersama Sang Penyu.
Pemain kelahiran Kedah itu membuktikan sentuhannya masih berbisa apabila menjaringkan dua gol dalam aksi Piala FA menentang Imigresen FC pada 13 September lalu, satu kebangkitan yang menandakan pemulihan sepenuhnya dari kecederaan.
Dua jaringan itu juga menjadi sumbangan pertamanya dalam saingan Liga Malaysia musim ini, sekali gus mengukuhkan peluang untuk dipertimbangkan semula ke dalam skuad kendalian Cklamovski.
3) Wan Kuzain Wan Kamal
Pemain tengah berdarah campuran Malaysia-Amerika Syarikat, Wan Kuzain Wan Kamal, sekali lagi tersenarai dalam Senarai Bersedia skuad kebangsaan buat kali kedua, susulan prestasi memberangsangkan yang dipamerkannya bersama St. Louis City 2 di Amerika Syarikat.
Pemain berusia 27 tahun itu kini menjadi antara tonggak utama pasukannya dalam saingan MLS Next Pro 2025/26, dengan rekod 96 penampilan, 15 jaringan dan 12 bantuan gol sejak menyertai kelab tersebut.
Prestasi konsisten Wan Kuzain terus mencuri perhatian peminat bola sepak tanah air khususnya selepas aksi cemerlangnya pada perlawanan ke-27 musim ini yang juga pusingan play-off, menyaksikan St. Louis City mencatat kemenangan selesa 3-0 ke atas Ventura County pada 20 Oktober lalu.
Beraksi di posisi pemain tengah menyerang, kreativiti Wan Kuzain benar-benar terserlah apabila hanya mengambil masa tiga minit untuk mencipta impak menerusi sepakan percuma tepat yang mengelirukan hampir 10 pemain lawan di kawasan sendiri, sekali gus membuka ruang kepada gol pertama pasukannya.
Aksi mengagumkan itu membuatkan pengendali St. Louis City 2, John Hackworth, menyanjung tinggi sumbangan pemain kelahiran Illinois itu sebagai perancang utama skuadnya.
Peranan sebegitu juga bukanlah asing dalam skuad kebangsaan kerana Paulo Josue yang posisi asalnya beraksi sebagai pemain tengah menyerang juga kerap diletakkan sebagai titik utama barisan hadapan.
Dengan prestasi semasa yang semakin meningkat, tidak mustahil Wan Kuzain berpeluang menyertai kem latihan Harimau Malaya sekiranya terdapat kekosongan dalam senarai utama 27 pemain pilihan Cklamovski. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram





