EDISI keempat perlumbaan Terengganu Pushbike 2025 yang berlangsung selama dua hari dalam suasana cuaca tidak menentu di Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu(PSKT), Kuala Terengganu mencipta sensasi tersendiri setelah kategori tumpuan bagi acara lelaki dan wanita didominasi oleh pelumba-pelumba cilik dari Selatan tanah air.
JB Rocket Team, Tornado Riders Pontian, Shark Speed Pushbike Club dan M8 Johor yang dibarisi oleh pelumba-pelumba cilik seawal usia dua tahun sensasi tersendiri setelah bersilih ganti menaiki podium malah turut meraih kejuaraan bagi kategori terbuka lelaki dan wanita yang menjadi tumpuan pada hari terakhir perlumbaan.
Bagi kategori lelaki terbuka yang melabuhkan tirai pada hari terakhir perlumbaan, pelumba Muhammad Nur Ammar Mohd Yatim ‘Ammar 5’ dari pasukan Tornado Riders Pontian dinobatkan selaku juara, manakala di tempat kedua milik Mikail Adha Azizul dan di tempat ketiga dirangkul oleh Muhammad Rayqal Muhammad Hazul Haffiz yang mana kedua-dua pelumba tempat kedua dan ketiga ini dari pasukan JB Rocket Team.









