KEKALAHAN keempat Selangor FC dalam kempen Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL) bukan sekadar keputusan negatif dalam satu perlawanan tetapi petunjuk kepada isu struktur yang lebih mendalam dalam organisasi teknikal pasukan.
Kegagalan mendapatkan sebarang mata di pentas Asia membayangkan jurang ketara antara perancangan taktikal, kualiti pemain dan keberkesanan sistem pengurusan prestasi yang dilaksanakan pada ketika ini.
Dalam Liga Super, corak prestasi yang tidak menentu telah menjadi ciri berulang Selangor sejak beberapa musim.
Klik Di Sini Untuk Artikel Penuh
BACA LAGI: Kalau musim ini masih ‘trophyless’, mana penyokong Selangor nak letak muka?
BACA LAGI: Prestasi macam terbantut di Selangor, nak tunggu apa lagi Aliff Haiqal?’
Kelab sering mempamerkan potensi untuk bersaing, namun tidak mampu mengekalkan momentum dalam tempoh yang panjang.
Dalam konteks profesional, kestabilan prestasi adalah hasil daripada kesinambungan falsafah permainan, struktur latihan yang konsisten dan kesesuaian antara pemain dengan pendekatan taktikal.
Selangor jelas belum mencapai keseimbangan tersebut.
Pertukaran jurulatih hampir setiap musim memberi kesan langsung terhadap pembangunan pasukan, setiap jurulatih membawa identiti, falsafah latihan dan pendekatan taktikal yang berbeza.
Ini menyebabkan kitaran pembinaan semula berulang setiap kali berlaku peralihan kepimpinan teknikal. Dalam jangka masa panjang, ia menjejaskan proses pembentukan budaya bola sepak yang mantap serta menghalang kestabilan prestasi.

Zach Clough antara pemain import yang tidak memberikan impak besar.
Jurulatih memerlukan masa dan ruang untuk membentuk pasukan mengikut keperluan taktikal mereka dan kitaran perubahan yang terlalu kerap menyukarkan pembangunan sistematik.
Pemilihan pemain import pula menjadi satu lagi sudut kritikal yang wajar diberi perhatian. Pemain import sepatutnya menjadi komponen utama yang menambah nilai kepada taktikal pasukan, khususnya dalam memberikan impak yang tidak dapat disumbangkan oleh pemain tempatan.
Namun begitu, dalam beberapa musim kebelakangan ini, prestasi pemain import Selangor sering digambarkan sebagai tidak memenuhi standard yang dijangkakan berdasarkan reputasi dan kapasiti kelab.
Pemilihan pemain import yang tidak sepadan dengan keperluan taktikal pasukan menjejaskan keberkesanan keseluruhan skuad.
Dalam aspek pemasaran, Selangor menunjukkan keupayaan yang berada pada standard tinggi.
Pasukan pemasaran berjaya menarik penaja, membina identiti jenama yang kuat dan mengukuhkan daya tarikan komersial kelab.
Dari sudut ini, struktur kelab jelas mempunyai keutuhan dan profesionalisme, namun jurang antara kekuatan pemasaran dan prestasi sukan semakin ketara dan ini mengundang perbincangan lebih mendalam mengenai keseimbangan antara komersial dan pembangunan teknikal.
Faktor yang semakin mendapat perhatian ialah peranan dan pengaruh Jawatankuasa Teknikal dalam membuat keputusan berkaitan prestasi.

Datuk Seri Shahril Mokhtar merupakan Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Selangor FC.
Dalam kebanyakan kelab yang beroperasi mengikut prinsip pengurusan moden, struktur teknikal lazimnya berfungsi melalui integrasi antara beberapa komponen utama seperilti analisis data prestasi, pemantauan pemain, unit kepakaran taktikal dan penyelarasan dengan ketua jurulatih.
Bagaimanapun, apabila keputusan teknikal dibuat melalui mekanisme berlapis dan secara kolektif oleh jawatankuasa, risiko ketidakfahaman strategik dan konflik kepakaran boleh berlaku.
Keputusan teknikal yang bersifat kolektif tanpa pengkhususan kepimpinan sering menghasilkan situasi tidak selari antara perancangan taktikal dan keperluan sebenar pasukan.
Struktur teknikal yang berorientasikan jawatankuasa cenderung menjadi terlalu berbirokrasi, mengurangkan ketangkasan dalam membuat keputusan dan tidak memberikan kejelasan mengenai akauntabiliti.
Dalam sukan berprestasi tinggi, kejelasan mandat adalah faktor kritikal siapa yang bertanggungjawab menentukan falsafah permainan, siapa yang menentukan pemilihan pemain dan siapa yang bertanggungjawab terhadap hasil prestasi.
Untuk Gergasi Merah, reformasi terhadap struktur teknikal wajar dipertimbangkan jika kelab ingin bergerak ke tahap seterusnya.
Selagi peranan Jawatankuasa Teknikal tidak ditakrifkan dengan jelas dan disesuaikan dengan keperluan prestasi semasa, pola ketidakstabilan berkemungkinan akan berterusan.
Kelab ini memiliki potensi yang besar, namun tanpa penyelarasan yang tepat antara elemen teknikal, taktik, sumber manusia dan visi jangka panjang, peluang untuk mencapai kestabilan berdaya saing sukar direalisasikan. — Majoriti
SKA
Penyokong Selangor yang amat kecewa dengan prestasi semasa
*Ini merupakan pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Majoriti*
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram





