BULAN Januari ini merupakan musim jendela perpindahan buat negara-negara lain dan disebabkan itu banyak khabar angin mengaitkan beberapa pemain tanah air dengan kelab luar negara.
Antara desas-desus hangat yang singgah di saingan Liga Malaysia (Liga M) pada bulan ini ialah mengaitkan bintang utama Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi apabila dia dikaitkan dengan kelab Iran iaitu Persepolis FC.
Memetik laporan Bartarinha, khabar angin berkenaan mula timbul apabila penganalisis dan jurulatih Persepolis mula mengikuti penyerang sayap kanan kebangsaan itu di laman Instagram dan kemudian berhenti berbuat demikian.