ARTIKEL

Malaysia perkukuh pematuhan ESG melalui dasar dan perundangan lebih tegas

PETALING JAYA: Perjalanan Asia Tenggara menuju ke arah kelestarian kini memasuki era transformatif, dengan Malaysia memperkenalkan langkah perundangan dan ekonomi yang lebih menyeluruh untuk memastikan akauntabiliti iklim dilaksanakan secara berkesan. 

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, berkata negara kini melangkah lebih jauh daripada sasaran pengurangan intensiti Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) di bawah Sumbangan Ditentukan Negara (NDC) 3.0 kepada sasaran emisi mutlak. Langkah itu menetapkan dengan matlamat untuk mencapai kemuncak emisi menjelang 2030 sebelum merealisasikan sasaran emisi karbon bersih sifar menjelang 2050.

“Kementerian kini sedang merangka Dasar Perubahan Iklim Negara 2.0 di samping menggubal Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara. Penggubalan undang-undang ini akan melembagakan tadbir urus iklim secara holistik. Ia memandatkan tanggungjawab bagi sektor awam dan swasta, lengkap dengan petunjuk prestasi utama (KPI) serta mekanisme pelaporan yang ketat,” katanya.

Sebagai sebahagian daripada usaha mempercepatkan penyahkarbonan industri, kerajaan juga akan melaksanakan cukai karbon secara berperingkat bermula pada tahun 2026, dengan tumpuan khusus kepada sektor berintensiti tinggi seperti besi, keluli dan penjanaan tenaga. Menurut Arthur, mekanisme penetapan harga karbon yang terstruktur ini bertujuan menggalak kaninovasi teknologi hijau, di samping memastikan pengeksport Malaysia kekal berdaya saing di peringkat global.

“Objektif kami bukanlah untuk mengenakan tekanan dalam bentuk hukuman, sebaliknya mewujudkan sistem insentif yang selari dengan piawaian antarabangsa,” tegas beliau.

Di samping penyahkarbonan industri, Malaysia terus komited memelihara sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keluasan tanah negara sebagai kawasan berhutan, selain memperluas pelaksanaan  inisiatif ekonomi kitaran seperti kemudahan sisa kepada tenaga (waste-to-energy) dan pengurangan penggunaan plastik sekali guna.

Arthur turut menyeru sektor korporat untuk menangani risiko penipuan hijau (greenwashing),dengan mengguna pakai piawaian seperti Pasukan Petugas Pendedahan Kewangan Berkaitan Iklim (TCFD) dan Piawaian Lembaga Piawaian Kelestarian Antarabangsa (ISSB), di samping menetapkan sasaran yang didorong melalui inisiatif Sasaran Berasaskan Sains (SBTi).

“Kerajaan menggalakkan syarikat-syarikat untuk mengira jumlah emisi secara tepat di seluruh rantaian bekalan mereka, terutamanya Skop 3, serta menetapkan sasaran penyahkarbonan bersandarkan SBTi. Kerangka ketelusan ini akhirnya bakal membuktikan sama ada ikrar kelestarian yang dibuat benar-benar memberikan nilai nyata atau sekadar hiasan korporat semata-mata,” katanya semasa menyampaikan ucaptama secara dalam talian di Asia ESG Summit 2026.

Menterjemah Dialog Serantau kepada Tindakan

Arthur turut memuji Sidang Kemuncak ESG Asia yang dianjurkan oleh Star Media Group (SMG) sebagai satu “platform strategik merentas industri yang menghimpunkan pemikir terkemuka” dalam menterjemahkan agenda kelestarian serantau kepada tindakan nyata.

Beliau menegaskan bahawa kejayaan peralihan berskala besar ke arah ekonomi mampan memerlukan kerjasama dinamik antara kerajaan, pelabur dan sektor korporat, melalui gabungan dasar yang kukuh, inovasi berterusan, serta pelaksanaan yang berkesan. 

“Saya menyeru para pemimpin korporat agar tidak menganggap kriteria alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) ini sebagai latihan pematuhan yang tegar. Sebaliknya, jadikannya sebagai teras ketahanan organisasi, dorongan kuat untuk inovasi, serta batu loncatan bagi meningkatkan daya saing kewangan di peringkat global.”

Beliau menggesa sektor perniagaan untuk melihat kelestarian sebagai strategi modal yang berdisiplin serta sebahagian daripada kerangka tadbir urus yang kukuh. Menurut beliau, pendekatan ini mampu mewujudkan nilai jangka panjang bukan sahaja kepada organisasi, malah kepada alam sekitar. 

Bertemakan “Driving Action to Measurable Impact”, Sidang Kemuncak ESG Asia 2026 yang berlangsung pada 21 dan 22 Julai di Hotel Sunway Resort, Bandar Sunway, Selangor, menjadi platform penting bagi menghimpunkan pemegang taruh utama dalam membentuk hala tuju agenda kelestarian serantau.

Sidang kemuncak ini merupakan edisi kedua yang dianjurkan di bawah Asia ESG Positive Impact Consortium (A-EPIC), sebuah inisiatif yang diterajui oleh SMG, Media Group Kompas Gramedia (KG Media) dari Indonesia, dan Inquirer Group of Companies (IGC) dari Filipina — sekali gus mencerminkan komitmen bersama pengamal media dalam memacu pembangunan mampan.

Sime Darby Property Bhd (SDP) tampil sebagai penaja utama manakala Permodalan Nasional Bhd (PNB) hadir sebagai rakan sokongan.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SMG, Chan Seng Fatt; Ketua Pegawai Operasi, Lydia Wang; Ketua Pegawai Kandungan, Datin Paduka Esther Ng; serta Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Singapura, Shivakumar Nair.

Menurut Chan, penganjuran Asia ESG Summit buat kali kedua ini mencerminkan tanggungjawab kumpulan tersebut sebagai ahli pengasas A-EPIC untuk memperkasakan lagi inisiatif serantau berkenaan.

“Pada tahun pertama, kami memberi tumpuan kepada dialog. Tahun ini, fokus kami beralih kepada pelaksanaan dan pematuhan. Penganjuran semula sidang kemuncak ini mencerminkan kepercayaan dan tanggungjawab bersama dalam membawa inisiatif ini ke tahap seterusnya bersama rakan kerjasama dari Filipina dan Indonesia.

Beliau berkata kekuatan A-EPIC terletak pada jaringan media yang mampu menjangkau hampir 125 juta pembaca, sekali gus membolehkan penyebaran amalan terbaik, kajian kes dan pelaksanaan ESG yang lebih telus. 

“Melalui perkongsian ilmu dan pembinaan komuniti, kita mampu membawa agenda ESG melangkaui sekadar usaha perhubungan awam kepada pelaksanaan yang benar-benar telus, boleh diukur dan memberi impak. ,” kata Chan.

Naib Presiden Kelestarian KG Media, Wisnu Nugroho, pula berkata komunikasi kelestarian perlu melangkaui sekadar naratif yang menarik dengan setiap komitmen disokong oleh data yang kredibel, pengukuran yang konsisten serta pelaporan yang telus bagi membina kepercayaan awam.

“Bagi KG Media, peranan media bukan sekadar memperluaskan kisah-kisah kelestarian, tetapi menjadikannya lebih jelas, lebih bertanggungjawab dan lebih mudah difahami oleh orang ramai.”

Beliau berkata KG Media komited memanfaatkan penyelidikan, data yang kredibel dan ekosistem medianya bagi menterjemahkan isu kelestarian yang kompleks kepada naratif yang lebih mudah difahami dan boleh disahkan oleh masyarakat.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Philippine Daily Inquirer, Rudyard Arbolado, menyentuh mengenai komitmen mereka terhadap prinsip “Balanced News, Fearless Views” mendorong organisasi untuk melihat isu kelestarian sebagai satu bentuk akauntabiliti awam.

“Matlamat kami adalah untuk memanfaatkan jangkauan bersama ini bagi meneliti dakwaan ESG, berkongsi amalan terbaik yang disahkan, serta memastikan syarikat bertindak balas terhadap data yang mereka laporkan.” kata Rudyard.

Tangani cabaran bandar

Pengurus Besar Kelestarian Sime Darby Property, Dr Yasmin Rasyid, dalam satu kenyataan berkata, penerapan prinsip ESG secara menyeluruh merupakan asas kepada pembinaan perniagaan yang berdaya tahan dan mampan.

Beliau berkata Sime Darby Property terus menyokong A-EPIC dengan memberi tumpuan kepada usaha menterjemahkan komitmen kelestarian kepada tindakan yang boleh diukur melalui pembangunan bertanggungjawab, kerjasama strategik dan penyelesaian yang memberi nilai jangka panjang.

“Kelestarian bukan sahaja penting untuk ketahanan masa depan, tetapi juga merupakan pemangkin kepada pertumbuhan jangka panjang serta penciptaan nilai bersama.”

Dalam pembentangannya bertajuk “Beyond ESG Reporting: Turning Sustainability Ambitions into Real-World Impact”, Yasmin berkata Malaysia berdepan cabaran pembandaran yang semakin meningkat apabila 90 peratus penduduk dijangka menetap di kawasan bandar menjelang 2050, manakala 60 peratus kediaman masa depan masih belum dibina.

Bagi menangani cabaran tersebut, beliau berkongsi strategi empat teras Sime Darby Property yang memfokuskan kepada tenaga dan karbon, biodiversiti, ketahanan iklim serta pengalaman komuniti bagi mengurangkan pelepasan karbon daripada aktiviti pembinaan dan operasi. 

Turut mendapat perhatian ialah pembentangan Profesor Madya Dr Chen Jit Ern, Pengarah Pusat Pembangunan Mampan Jeffrey Sachs, Universiti Sunway, bertajuk “Climate Resilience and Adaptation: Hardening Assets Against Extreme Weather Risk”.

Beliau berkongsi pendekatan bagi membantu organisasi menilai dan mengurus risiko fizikal akibat perubahan iklim, memperkukuh infrastruktur serta meningkatkan ketahanan terhadap kejadian cuaca ekstrem.