TULAR di media sosial tindakan jujur seorang penghantar kurier yang mendapat pujian ramai apabila tetap berpegang pada integriti meskipun berpeluang mengambil wang lebih ketika menghantar barang secara ‘Cash on Delivery’ (COD).
Menerusi satu video yang dimuat naik oleh pengguna TikTok dikenali sebagai Pakcik Alie pada Ahad, dia berkongsi momen sewaktu menjalankan tugas penghantaran ke rumah pelanggan.
Apa yang mencuri perhatian ramai adalah tindakan pelanggan yang dilihat telah memudahkan urusan penghantaran dengan menyediakan wang bayaran COD lebih awal apabila menyimpan duit berkenaan di tempat yang tidak dijangka iaitu dalam kasut di luar rumah.





