KK Supermart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) tampil memohon maaf susulan kontroversi penjualan stoking berjenama MiranoSock yang tertera kalimah ALLAH SWT di rangkaian serbaneka syarikat berkenaan.
Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Super Mart, Datuk Seri Dr KK Chai berkata, stoking tersebut merupakan produk konsainan oleh pihak vendor.
“Syarikat tidak berniat untuk menyentuh sensitiviti dan keharmonian masyarakat.
Klik Di Sini Untuk Artikel Penuh
“Oleh itu, saya dengan rendah hati memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia, terutamanya yang beragama Islam,” katanya pada sidang bagi memberi penjelasan berhubung isu tular penjualan stoking tertera kalimah ALLAH SWT di Menara KK, Kuala Lumpur pada Sabtu.
Turut hadir pemilik syarikat Xin Jian Chang Sdn Bhd, Soh Chin Huat selaku pembekal stoking berkenaan.
BACA LAGI: Salah ikut kawan pergi kelas KAFA, murid SK Briekfields 2 ditemukan selamat lepas hilang 5 jam
KK Supermart tampil memohon maaf susulan kontroversi penjualan stokin berjenama MiranoSock yang tertera kalimah ALLAH SWT di rangkaian serbaneka syarikat berkenaan.
BACA LAGI: [VIDEO] Otak bersepai dalam helmet, pembonceng maut bertembung lori di Gelang Patah
Mengulas lanjut, Chin Huat berkata, stoking berkenaan diimport dari China.
Jelas beliau, pihaknya diberi peluang oleh Chai untuk menyewa ruang bagi menjual produk mereka.
“Saya ada hasilkan stoking sendiri dan ada juga diimport dari beberapa negara luar. Untuk stoking (yang ada kalimah ALLAH), saya terima melalui guni dari China.
“Dalam guni yang tiba di kilang kami di Batu Pahat, Johor pada tahun lalu, terdapat 1,200 pasang stoking yang bercampur dengan pelbagai rekaan dan warna.
“Pekerja kami kemudian menghantar sendiri stoking-stoking berkenaan ke premis KK Mart bermula 29 Januari lalu. Atas kesilapan pekerja kami yang tidak melakukan pemeriksaan teliti menyebabkan ia dijual di KK Mart,” katanya lapor The Star.
Tangkap layar memaparkan hantaran Bell Ngasri di Facebook miliknya pada Sabtu.
Menurut Chin Huat lagi, pengurusan produk tersebut dilakukan sepenuhnya oleh pembekal menerusi sistem sewaan tempat dalam premis kedai serbaneka itu tanpa pemantauan pihaknya.
Ujarnya, pemeriksaan dijalankan di 800 cawangan KK Super Mart di seluruh negara namun hanya tiga premis yang membawa stoking itu dan 14 pasang mempunyai perkataan tertera kalimah ALLAH SWT.
“Satu laporan polis dibuat di Balai Polis Sungai Besi pada Khamis bagi membantu siasatan dan memberi kerjasama kepada pihak berwajib.
“Surat penjelasan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) juga telah disediakan,” jelasnya.
Menjengah ke ruangan komen, meskipun sudah diberi penjelasan oleh pihak terlibat, rata-rata warga maya masih mengkritik penjualan barang berkenaan yang seolah-olah tidak menghormati agama Islam.
Malah, pelakon dan pelawak Bell Ngasri berkata, kesilapan seperti ini tidak seharusnya berlaku di negara majmuk seperti Malaysia.
“Harap maaf ya, janganlah main-mainkan nama tuhan saya.
“Jadilah manusia yang tahu menghormati dalam negara (yang) berbilang kaum, bangsa dan agama ini. Janganlah buat begitu (terutamanya) bulan-bulan puasa ini,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Sabtu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram