RANCANGAN murni seorang wanita untuk mendirikan rumah tangga pada Februari tahun depan musnah di tengah jalan selepas mendakwa teman lelakinya bersikap acuh tidak acuh dan lepas tangan ketika dia ditimpa kemalangan jalan raya pada Selasa.
Menurut wanita berkenaan, kejadian malang itu berlaku kira-kira pukul 9.53 malam apabila keretanya dilanggar dari arah tepi sehingga menyebabkan bahagian badan kenderaan calar dan kemek, selain komponen rim serta tayar mengalami kerosakan.
Katanya, sejurus selepas insiden itu, dia segera memaklumkan perkara tersebut kepada teman lelakinya menerusi aplikasi WhatsApp berserta gambar keadaan kereta sebagai bukti.





