MENJADI seorang guru pada masa kini bukanlah tugas mudah. Golongan pendidik bukan sahaja berdepan dengan cabaran silibus dan tanggungjawab mendidik, malah turut perlu berhadapan dengan sikap segelintir pelajar yang semakin hilang rasa hormat terhadap guru.
Terbaharu, tular satu rakaman menunjukkan seorang pelajar perempuan membuat siaran langsung di aplikasi TikTok ketika guru sedang mengajar di dalam kelas, sekali gus mengundang kecaman hebat daripada warganet.
Rakaman tersebut dikongsikan oleh pengguna Threads, @miezaid, yang meluahkan rasa kecewa terhadap tindakan tidak beradab pelajar berkenaan.





