RAMAI dalam kalangan pekerja akan merancang cuti tahunan jauh lebih awal demi memenuhi komitmen peribadi atau keluarga, terutamanya apabila melibatkan urusan keagamaan yang memerlukan persiapan rapi.
Namun, berbeza pula nasib seorang wanita apabila permohonan cutinya untuk menunaikan ibadah umrah dipersoalkan majikan, biarpun dia sudah membuat pemakluman awal bagi mengelakkan urusan pejabat terganggu.
Menerusi satu luahan di Threads, wanita berkenaan menyuarakan rasa terkilan dengan sikap majikannya yang disifatkan kurang bertimbang rasa terhadap urusan ibadah.
“Kenapa apabila staf nak ambil cuti untuk menunaikan umrah, majikan masih nak persoalkan? Ditanya… kenapa pergi lama sangat? Habis itu, kerja dekat pejabat macam mana?
“Saya dah maklumkan cuti lebih awal, bukan last minute. Bukankah itu yang sepatutnya dibuat supaya kerja saya boleh dirancang?” tulisnya dalam satu hantaran.
Menjadi impian setiap umat Islam untuk ke Tanah Suci bagi menunaikan ibadah umrah atau haji. -Gambar hiasan AI
Malah, wanita itu berkata dia turut berasa hairan apabila majikannya seolah-olah tidak bertimbang rasa biarpun sudah menjelaskan permohonan cutinya itu untuk urusan ibadah umrah sepenuhnya.
“Takkan sampai saya perlu bawa laptop ke Tanah Suci untuk selesaikan kerja sambil buat umrah? Tak boleh ke hormat agama orang lain?





