PIHAK Awesome TV mengesahkan bahawa satu tindakan undang-undang telah difailkan terhadap tiga pelawak selebriti tempatan susulan penyebaran kenyataan berunsur fitnah yang dimuat naik melalui akaun media sosial masing-masing.
Tiga individu yang dinamakan dalam saman tersebut ialah Mohamad Amirullah Azmi atau lebih dikenali sebagai Amir Raja Lawak, Mohamad Ikhtiarudin Naina Mohamad (Mamak Puteh) dan Abu Musarrif Abu Bakar (Abu Mamu).
Menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan pada Khamis, ketiga-tiga mereka didakwa telah menyebarkan dakwaan tidak berasas yang menuduh pihak Awesome TV gagal melunaskan bayaran terhadap penglibatan mereka dalam beberapa program terbitan yang disiarkan di saluran berkenaan.






