Bola Pegun kembali menemui pembaca. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, akan cuba berkongsi sorotan mengenai suka-duka jurulatih, pemain mahupun pasukan mengejar kejayaan dalam saingan Liga Malaysia musim 2024/25.
DARI satu sudut, Nafuzi Zain lebih daripada sedia mengakui pemain-pemainnya berada dalam keadaan mental dan fizikal yang paling lemah. Dari sudut berbeza pula, ketua jurulatih Kedah Darul Aman (KDA) FC itu masih terkilan kerana pasukannya tidak dapat mempertahankan pendahuluan yang dimiliki.
Pada penghujungnya, keputusan seri 1-1 dengan PDRM FC di Stadium Darul Aman pada Jumaat mungkin adil buat kedua-dua pasukan tapi Nafuzi seakan-akan tidak dapat mengelakkan dirinya daripada membandingkan dengan keadaan ketika skuad Helang Merah itu bebas daripada belenggu gaji tidak berbayar.








