DEWAN Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) mengambil maklum berhubung penularan sebuah video di media sosial pada 18 Ogos lalu yang memaparkan tindakan sekumpulan individu menunggang motosikal di atas trek joging di Taman Awam Teluk Likas, Kota Kinabalu, Sabah.
Menurut kenyataan DBKK di Facebook, tindakan tersebut disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab dan jelas melanggar peraturan yang ditetapkan di semua taman awam bawah seliaan pihak berkuasa tempatan itu, yang melarang penggunaan motosikal atau sebarang kenderaan bermotor di laluan joging dan berbasikal.
“Taman awam merupakan kawasan riadah utama bagi warga bandar raya Kota Kinabalu, digunakan oleh pelbagai lapisan masyarakat.





