KERINDUAN penyokong bola sepak Kedah terhadap barisan bintang yang pernah mencipta kegemilangan negeri itu akhirnya terubat apabila mereka bakal menyaksikan kemunculan semula wira-wira Hijau Kuning dalam aksi Ex Double Treble Kedah.
Pasukan legenda negeri itu akan turun menentang Ex Malaysia Legend (XLM), skuad yang dibarisi bekas pemain kebangsaan dalam perlawanan istimewa untuk merebut Piala CT Global Legend Cup 2025 yang bakal berlangsung di Stadium Darul Aman, Kedah pada Jumaat.
Perlawanan yang dijangka penuh nostalgia itu menghimpunkan nama-nama besar dalam sejarah bola sepak Kedah, termasuk Baddrol Bakhtiar, Victor Andrag dan Khyril Muhaimeen, tiga ikon tempatan yang cukup dikenali dan dihormati oleh penyokong setia Sang Kenari.







