KELAB elit Liga Malaysia (Liga M), Johor Darul Ta’zim (JDT) mencipta satu lagi rekod baharu apabila melakar ‘hatrik quadruple’ atau memenangi empat piala dalam satu musim buat kali ketiga berturut-turut.
Ia susulan kejayaan skuad Harimau Selatan merangkul trofi Piala Malaysia selepas bangkit menewaskan Sri Pahang 2-1 dalam aksi final yang dramatik di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Kuala Lumpur pada Sabtu.
Kemenangan itu menjadikan Harimau Selatan terus menyapu bersih empat trofi termasuk Piala Sumbangsih, Piala FA, Liga Super dan Piala Malaysia selepas melakar pencapaian sama pada musim 2022 dan 2023.





