SKUAD beregu negara terpaksa akur dengan kehebatan Thailand apabila tewas dalam pertembungan sengit dalam acara double dengan keputusan 0-2 dalam saingan Kumpulan B Piala Sepak Takraw Asia (ASTAF) di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur pada Sabtu.
Pertemuan itu menyaksikan pasangan negara, Aidil Aiman Zawawi dan Noraizat Mohd Nordin gagal menyaingi rentak permainan pantas gandingan Thailand, Boonkoom Tipwong-Sirisak Anuloon, dalam aksi yang berlangsung dalam suasana tegang dan penuh debaran.
Set pertama menyaksikan wakil negara bermula agak perlahan, memberi ruang kepada pasangan Thailand untuk menguasai gelanggang. Aidil dan Noraizat cuba membina momentum namun sering kali ditewaskan dengan hantaran deras dan pukulan taktikal lawan.