KENDATIPUN nama Kedah Darul Aman FC (KDA FC) kini dikaitkan dengan hukuman penggantungan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), memori kegemilangan skuad Lang Merah pada musim 2017 masih segar dalam lipatan sejarah bola sepak tempatan.
Musim itu dianggap salah satu era emas Hijau Kuning apabila mereka bukan sahaja menawan Piala FA dan menjulang Piala Sumbangsih, malah turut mendominasi Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2017 dengan membawa pulang lapan trofi utama sekali gus mencatat rekod paling banyak kemenangan.
Aksi penuh dramatik pada Januari 2017 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos dekat Larkin, Johor menyaksikan Kedah menundukkan Johor Darul Ta’zim (JDT) 5-4 menerusi penentuan sepakan penalti bagi merebut Piala Sumbangsih, sekali gus membuka tirai musim dengan penuh bergaya.






