PERJUANGAN Selangor FC dalam saingan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL 2) akhirnya berakhir selepas tewas 2-3 di tangan Persib Bandung dalam aksi yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Selangor pada Khamis.
Keputusan itu menyaksikan Gergasi Merah terus mengalami detik buruk dalam saingan ACL 2 apabila tewas semua empat perlawanan dan menghuni tangga tercorot Kumpulan G tanpa sebarang mata.
Meskipun berbaki dua perlawanan lagi, namun perbezaan sembilan mata dengan pasukan tangga kedua, Bangkok United menyebabkan skuad kendalian Christophe Gamel terkeluar dari persaingan merebut tiket ke pusingan kalah mati.








