PELUMBA berpengalaman negara, Hafizh Syahrin Abdullah membuktikan kemampuannya apabila merangkul kejuaraan sulung musim ini dengan muncul juara dalam Perlumbaan 2 kategori ASB1000 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) Pusingan Ketiga.
Dalam perlawanan yang berlangsung di Litar Twin Ring Motegi, Motegi, Jepun pada Ahad itu menyaksikan pelumba JDT Racing Team berkenaan tampil dengan aksi cemerlang untuk menebus kekecewaan sehari sebelumnya selepas gagal menamatkan Perlumbaan 1.
Walaupun menghadapi perlawanan sengit sepanjang 11 pusingan itu, Hafizh Syahrin berhasil mencatat masa 24 minit 09.165 saat untuk muncul juara dalam perlumbaan penuh dramatik tersebut.





