JALUR Gemilang berkibar megah di bumi Eropah apabila pasukan wanita Malaysia muncul juara Nations Cup dalam Kejohanan Petanque Wanita Dunia 2025 yang berlangsung di Douai, Perancis pada Ahad.
Kejayaan membanggakan itu dikongsikan menerusi laman Facebook rasmi Mbsf Boules Petanque, yang turut merakamkan penghargaan kepada keempat-empat atlet negara atas pencapaian luar biasa mereka di pentas antarabangsa.
Skuad wanita negara diwakili Nur Thahira Tasnim Abdul Aziz, Sharifah Aqilah Farhana Syed Ali, Jasnina Jasmine Johan Johnson dan Nur Durratul Sahira Yazit yang beraksi cemerlang sepanjang kejohanan dan berjaya membawa pulang pingat emas dalam kategori Nations Cup.





