PENYERANG Kuching City FC, Danial Asri memberikan bayangan jelas bahawa dia bersedia menjadi pilihan utama skuad The Cats selepas meledak dua gol dalam kemenangan bergaya 7-1 ke atas Brunei DPMM FC pada aksi timbal balik pusingan 16 Piala FA di Stadium Negeri Sarawak.
Pemain berusia 25 tahun kelahiran Rawang, Selangor itu pada mulanya dibawa masuk sebagai pelapis kepada barisan penyerang utama, namun Danial berjaya membuktikan bahawa dia bukan sekadar pengganti.
Dalam penampilan keduanya sebagai kesebelasan utama musim ini, Danial mempamerkan aksi penuh keyakinan dengan satu bantuan gol selain dua jaringan, sekali gus menamatkan kemarau prestasi selepas dua musim tenggelam di Selangor.






