KUALA Lumpur (KL) City FC bermula langkah kanan menewaskan Kaya FC 1-0 dalam aksi pertama Kumpulan B kempen Kejuaraan Kelab Asean (ACC) di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur dekat Cheras, Kuala Lumpur pada Khamis.
Perlawanan pertama bagi kejohanan yang juga dikenali sebagai Piala Shopee itu menyaksikan Miroslav Kuljanac membariskan kesebelasan terbaik dengan Paulo Josue, Haqimi Azim dan Jovan Motika mengetuai jentera serangan.
Percaturan itu nyata membuahkan hasil buat pasukan The City Boys apabila tonggak muda mereka, Haqimi bijak menyudahkan peluang terhidang pada minit ke-13 dan meletakkan pasukan Lembah Klang berkenaan di hadapan.





