KETIKA ramai remaja seusianya lebih tertarik dengan dunia kecantikan dan teknologi terkini, seorang gadis berusia 17 tahun dari Malaysia, Nur Airen Sofea Mohd Nor Aszeril memilih laluan berbeza apabila mencuri perhatian dunia sukan ekstrem menerusi aksi memukau dalam BMX Freestyle Flatland.
Di sebalik perwatakan lembut dan feminin, kelincahan Nur Airen Sofea atau mesra disapa Sofea di atas basikal BMX nyata memukau warga maya, terutama apabila videonya melakukan pelbagai aksi gaya bebas tular di media sosial.
Lebih membanggakan, Sofea bukan sekadar pelumba remaja biasa apabila berjaya muncul sebagai juara kebangsaan BMX Flatland selama tiga tahun berturut-turut bermula pada 2023, 2024 dan terbaru pada Kejohanan Kebangsaan 2025 sekali gus melakar kejuaraan hatrik yang sukar ditandingi.






