SEIRING dengan kehangatan Liga Super yang sedang berlangsung, saingan Piala MFL juga musim ini hadir dengan perubahan apabila akan menampilkan format liga satu kumpulan berbanding format dua kumpulan yang digunakan pada musim 2023.
Badan pengendali, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menjelaskan perubahan format liga itu dilakukan selepas mendapat permohonan daripada pasukan dan sebagai salah satu inisiatif untuk mengukuhkan pembangunan bagi kelompok pemain bawah 23 tahun (B-23).
Musim lalu, kita menyaksikan Terengganu FC II (TFC II) berhasil merangkul trofi kejohanan selepas menewaskan tiga pasukan lagi bagi melayakkan kelab ke pusingan kedua dan seterusnya mara ke final untuk merebut gelaran Juara Piala MFL.