PEMILIK kelab Melaka FC, Datuk Wira Nur Azmi Ahmad percaya dengan penambahan dua pemain import baharu akan memperkuatkan lagi pasukan tersebut untuk berentap menentang Terengganu FC dalam aksi pusingan 16 Unifi Piala Malaysia, di Stadium Hang Jebat, Melaka pada Sabtu.
Tiga pasukan dari kelab Liga A1 Semi Pro termasuklah Melaka FC, PT Athletic FC dan KL Rovers FC dibenarkan untuk menambah pendaftaran dua lagi pemain import hanya untuk beraksi di pentas Piala Malaysia dan MFL Challenge Cup musim ini yang bertujuan memperkasakan lagi pasukan bagi memberikan saingan lebih sengit kepada kelab-kelab Liga Super.
Justeru, Melaka FC tidak melepaskan peluang untuk merekrut dua pemain masing-masing dari Guinea dan Perancis iaitu Oumar Bangoura dan Rodrigue Nanitelamo bagi membantu pasukan di posisi tengah dan pertahanan, lapor MFL.







