INSIDEN simbah asid yang menimpa Faisal Halim mengundang persoalan sama ada perlawanan Piala Sumbangsih antara Selangor FC menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim pada Jumaat akan diteruskan atau tidak.
Ini kerana ada penyokong membangkitkan soal keselamatan pemain selain mencadangkan perlawanan itu tidak perlu diteruskan sebagai tanda solidariti terhadap pemain lincah kelahiran Pulau Pinang itu yang bergelut di wad rawatan rapi akibat kecederaan yang dialaminya.
Pada Ahad lalu, arena bola sepak tanah air dikejutkan dengan kejadian malang menimpa Faisal sehingga dilaporkan tonggak Selangor FC itu mengalami kecederaan fizikal di beberapa anggota badan akibat simbahan cecair berkenaan.







