KEMENANGAN 4-0 dicatatkan ke atas Vietnam di laman sendiri pada Selasa lalu meletakkan ‘sebelah kaki’ Harimau Malaya ke saingan Piala Asia 2027 meskipun masih terdapat empat lagi perlawanan perlu diharungi.
Ini kerana gergasi Asia Tenggara itu merupakan satu-satunya pencabar serius negara dalam Kumpulan F bagi kempen kelayakan dengan Nepal dan Laos tidaklah begitu membimbangkan.
Jadi, dengan enam mata sudah dikutip termasuk ketika menumpaskan Vietnam, ia memberi bayangan awal bahawa revolusi Harimau Malaya membuahkan hasil meskipun masih di peringkat awal.








