Bola Pegun kembali menemui pembaca. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, akan cuba berkongsi sorotan mengenai suka-duka jurulatih, pemain mahupun pasukan mengejar kejayaan dalam saingan Liga Malaysia musim 2024/25.
PADA waktu ini lebih kurang setahun lalu, Penang FC merehatkan ketua jurulatih, Chong Yee Fatt, dan penolongnya, Manzoor Azwira Abd Wahid, sehingga selesai Liga Super musim 2023. Serentak dengan itu, bekas penyerang kebangsaan, Akmal Rizal Ahmad Rakhli, diumumkan selaku pengendali sementara.
Apa yang berbeza ketika itu ialah aksi liga cuma berbaki tiga perlawanan dan Akmal memanfaatkannya untuk mengalahkan Sri Pahang FC 3-2 dan seri 1-1 dengan Terengganu FC – kedua-duanya di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang — sebelum menutup musim dengan kekalahan 0-8 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) di tempat lawan.









