KEM Manchester United dilihat berdepan ujian cukup getir apabila kehilangan sekurang-kurangnya 11 pemain menjelang perlawanan kedua pusingan 16 terakhir Liga Europa menentang Real Sociedad di Old Trafford, Manchester, England pada Jumaat.
Meskipun mendapat suntikan tenaga dengan kembalinya Manuel Ugarte ke dalam skuad, skuad kendalian Ruben Amorim berkenaan terpaksa menerima satu lagi tamparan apabila pemain pertahanan tengah mereka iaitu Leny Yoro disahkan tidak dapat beraksi akibat kecederaan.
Ugarte sebelum ini terlepas dua perlawanan penting, termasuk aksi seri 1-1 menentang Sociedad dan Arsenal minggu lalu. Bagaimanapun, pemain tengah itu kembali menjalani latihan pada pagi Rabu dan disahkan akan menyertai skuad bagi perlawanan penting ini.