KEM Harimau Malaya terpaksa menelan pahit kerana akan beraksi tanpa beberapa tonggak utama menjelang perlawanan ketiga Piala Asean 2024 (Piala AFF) bertemu Thailand pada Sabtu.
Skuad kendalian Pau Marti Vicente itu menerima tamparan hebat selepas Sabah FC mengambil keputusan untuk memanggil empat tonggak iaitu Dominic Tan, Stuart Wilkin, Darren Lok dan Daniel Ting bagi memberi tumpuan kepada aksi suku akhir pertama Piala Malaysia menentang Kuching City FC di Stadium Negeri, Sarawak Ahad ini.
Bukan itu sahaja, kecederaan yang menimpa pemain muda Johor Darul Ta’zim (JDT II), Fergus Tierney dan Syafiq Ahmad turut meranapkan hasrat Pau Marti untuk sekurang-kurangnya meraih keputusan positif dalam aksi yang berlangsung di Stadium Rajamangala, Thailand nanti.