Bola Pegun kembali menemui pembaca. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, akan cuba berkongsi sorotan mengenai suka-duka jurulatih, pemain mahupun pasukan mengejar kejayaan dalam saingan Liga Super musim 2024/25.
MEREKA memiliki segala-galanya pada hari perlawanan – daripada keghairahan memulakan musim dalam perlawanan pertama, bersolidariti dengan bintangnya, Faisal Halim, yang mengalami kelecuran simbahan asid hinggalah kepada kehadiran penyokong bersemangat. Tapi pada penghujungnya Selangor FC jelas mengecewakan.
Di sebalik tuan rumah itu mendapat kerjasama 10,077 penonton di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Selangor pada Sabtu – tidak kira jersi pasukan mana dipakai mereka — berdiri memberi penghormatan sambil bertepuk tangan tanda solidariti dengan Faisal pada minit ketujuh aksi, pertunjukan kesebelasan Gergasi Merah pula harus tidak sampai untuk memenuhi harapan ramai.
Klik Di Sini Untuk Artikel Penuh
Kesudahannya, ia memerlukan sentuhan penyudah oportunis Alif Haiqal Lau pada minit ke-85 untuk memberikan perbezaan pada ketika statistik di penghujung aksi mencatatkan 55 peratus pemilikan bola di pihak Sang Kenari.
BACA LAGI: Selain Syafiq, loan TFC, 2 ex Sabah berisiko hilang kelab andai Kenari patah sayap
BACA LAGI: ‘Jangan salahkan seseorang dalam pasukan’, hantaran Insta Story Wan Zack cetus tanda tanya
Di bawah kendalian Nidzam Jamil (tengah), Gergasi Merah membukikan mampu meraih tiga mata ketika berdepan Sang Kenari. — Facebook/Selangorfc
Apapun, tahniah kepada jurulatih Selangor FC, Nidzam Jamil, yang julung-julung kali mengecap nikmat meraih tiga mata liga semula yang kali terakhir diraihnya ketika mengemudi Felda United FC pada musim 2020.
Cuma, perbandingan akan terus dibuat di antara percaturannya musim ini dan Tan Cheng Hoe yang membawa Selangor FC menyudahkan musim sebagai naib juara liga tahun lalu.
Begitu juga dengan pemain import dimilikinya – Umar Eshmurodov, Safuwan Baharudin, Noor Al- Rawabdeh, Nooa Laine, Yohandry Orozco, Alex Agyarkwa, Alvin Fortes, Ronnie Fernandez dan Reziq Bani Hani – setelah melepaskan Ayron del Valle, Brendan Gan, Yazan Al-Arab, Richmond Boakye dan Rauf Salifu dari musim lalu.
Seronok juga melihat Nidzam, 44, dan jurulatih Kedah FC, Nafuzi Zain, 45 – kedua-duanya bermain bersama dalam skuad bawah 23 tahun kebangsaan pada 2000 – bersalaman dan saling mengucapkan tahniah selepas wisel penamat.
Nafuzi (kanan) pastinya kecewa dengan prestasi anak-anak buahnya apabila ditundukkan Selangor FC. — Facebook/KDAFC
Jika kekecewaan boleh dilihat pada Nafuzi – pasukannya memulakan musim dengan negatif tiga mata susulan dikenakan pemotongan tiga mata oleh First Instance Body (FIB) disebabkan kegagalan melunaskan tunggakan gaji dan pemain bagi musim 2023 — ia harus satu kelegaan besar di pihak Nidzam berbanding kegembiraan.
Kenapa tidak kerana tiga mata yang diraih tuan rumah itu dalam perlawanan yang tidak pun dukuasai mereka sambil pelawat – dengan barisan import, Cleylton, Milos Gordic, Habib Haroon, Sonny Norde dan Sukhrob Nurulloev — yang memberi ancaman dengan kerajinan penyerangnya, Syafiq Ahmad, hanya untuk kesudahannya dikecewakan oleh ketumpulan tindakan penyudah.
Tidak keterlaluan untuk menyimpulkan ia lebih kepada kemenangan nasib di pihak Selangor FC yang hanya menunjukkan lebih kesungguhan selepas kemasukan Reziq ketika permainan berbaki 20 minit.
Kualiti, kepantasan, kelincahan serta kekuatan fizikal penyerang itu benar-benar mengujakan selepas dia dilihat langsung tidak memiliki sebarang masalah untuk berdepan pertahanan Sang Kenari, khususnya Rizal Ghazali di posisi bek kanan.
Jaringan tunggal pemain gantian, Aliff Haiqal (kanan) menjaringkan gol dengan satu rembatan voli yang menewaskan penjaga gol Selangor, Kalamullah Al-Hafiz. — Facebook/MFL
Malah, larian-larian pemain bawah 23 tahun kebangsaan Jordan itu di bahagian sayap kiri yang membuka ruang kepada gol tunggal Selangor FC ketika permainan hanya berbaki lima minit.
Momentum positif Reziq itu pastinya melegakan Nidzam untuk mempelbagaikan lagi taktikal serta formasi permainan pada masa akan datang.
Tambahan pula Fernandez yang berfungsi sebagai penyerang tengah dilihat kurang daripada segi kelincahan dan kepantasan dengan pemain berjersi nombor 9 itu sentiasa dibayangi oleh pertahanan lawan, terutama pada separuh masa pertama.
Fortes pula yang menunjukkan nilainya dalam aksi empat penjuru Piala Cabaran Asia Selangor (SAC2024) pada 26 dan 28 April sebagai aksi pemanas badan sebelum liga bermula, lebih terbatas sumbangannya di bahagian sayap kanan.
Namun demi memberi keadilan kepada mereka, ia baru perlawanan pertama, dengan kedua-duanya memerlukan sedikit masa untuk membentuk persefahaman lebih baik dengan rakan sepasukan baru. Jika diingati, Ayron digelar ‘scammer’ oleh penyokong Selangor selepas penampilan awalnya musim lalu untuk penyerang dari Colombia itu kesudahannya begelar penjaring terbanyak liga.
Nidzam tidak berselindung bahawa pasukannya tidak beraksi baik – malah agak berterabur sebenarnya — pada separuh masa pertama.
“Persembahan pada separuh masa pertama dan kedua sangat berbeza. Tetapi reaksi pemain pada separuh masa kedua sangat penting.
“Secara taktikal, saya hanya minta pemain tengah untuk kerap berada di poket kerana kita terlalu ramai di belakang bola. Namun, perubahan dilakukan itu berhasil dengan jaringan,” katanya selepas perlawanan.
Syafiq Ahmad (kiri) mengalami kesukaran untuk menembusi benteng pertahanan Gergasi Merah. — Facebook/KDAFC
Cuma, berbanding tuahnya untuk meraih tiga mata, Nafuzi pula mengakui penyudah tumpul menjadi punca mereka terpaksa berputih mata di tempat lawan, sekali gus mengharapkan anak buahnya dapat memperbaiki aspek itu dalam aksi seterusnya menentang Perak FC di laman sendiri, Jumaat ini.
“Saya fikir keputusan seri adalah adil tetapi Selangor manfaatkan peluang mereka dan kita tidak tapi saya bangga dengan komitmen ditunjukkan pemain.
“Apa yang penting adalah kita mencipta peluang kerana kalau kita tidak mencipta peluang, itulah yang saya risaukan. Tetapi memang dari segi penyudah itu, kita kena sempurnakan apatah lagi menentang pasukan seperti Selangor yang kita tidak akan dapat banyak peluang.
“Jadi, kita kena perbaiki perkara ini supaya ia tidak berlaku lagi. Kita baru mengharungi dua perlawanan dan kita ada masa untuk menjadi lebih baik dalam perlawanan akan datang,” katanya.
Selepas mengharungi dua perlawanan, KDA FC masih gagal mengutip sebarang mata meskipun berjaya membuka kempen Liga Super musim ini dengan kemenangan 1-0 ke atas PDRM FC pada 11 Mei gara-gara pemotongan mata yang dikenakan.
Selangor FC pula belum tahu untung nasibnya daripada hukuman lanjut Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) kerana tidak hadir perlawanan sumbangsih Piala Sultan Ahmad Shah di Iskandar Puteri pada 10 Mei atas sebab keselamatan berikutan serangan asid sulfurik ke atas Faisal lima hari terdahulu.
Barisan Gergasi Merah boleh terus bersolidariti dengan Faisal sehingga pemain itu pulih sepenuhnya tapi ia akan menuntut mereka untuk lebih menyerlah dalam perlawanan-perlawanan selepas ini atau ia tidak akan membawa banyak makna. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram