PERANCANG tengah Harimau Malaya, Brendan Gan mengakui tidak gentar untuk berdepan Kyrgyzstan pada pusingan kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Khamis ini.
Beliau berkata, biarpun perang psikologi dilancarkan Ketua Jurulatih Kyrgyzstan, Stefan Tarkovic membabitkan beberapa perkara, ia tidak mendatangkan kegusaran berikutan percaya akan kualiti dimiliki rakan sepasukan dalam mengekang kemaraan pasukan ranking ke-97 dunia itu.
“Kami hanya datang ke sini untuk menjalankan tugas. Kami perlu fokus terhadap apa yang kami mahu buat dan bagaimana kami mahu permainan kami,” katanya ketika ditemui pada latihan pusat di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya di Petaling Jaya, Selangor pada Ahad.






