KETUA Jurulatih Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak mencipta sejarah tersendiri apabila diumumkan sebagai pemenang Anugerah Jurulatih Terbaik pada majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2024-2025 yang berlangsung di Kuala Lumpur pada Rabu.
Pernah tercalon pada musim 2019 sehingga 2021, Aidil akhirnya berjaya membuktikan kredibilitinya untuk meraih gelaran Jurulatih Terbaik selepas kecemerlangan membawa Kuching City menduduki tangga keempat Liga Super pada musim kedua dalam saingan elit Liga Malaysia itu.
Ia merupakan pencapaian terbaik Kuching City yang pada awal penubuhannya sebagai kelab amatur yang bersaing dalam Liga Bola Sepak Rakyat pada 2015 sehingga kini berdiri gah dalam kelompok terbaik pasukan Liga Super, lapor MFL.






