PERTEMUAN hangat bakal menanti peminat bola sepak tanah air apabila Negeri Sembilan FC akan menerima kunjungan Terengganu FC dalam pertembungan pertama suku akhir Piala Malaysia 2024/25 pada Sabtu.
Skuad Sang Penyu yang mara selepas menyingkirkan Melaka FC sememangnya memiliki peluang cerah untuk melangkah ke peringkat seterusnya melihat kepada kualiti pasukan musim ini.
Namun, Negeri Sembilan FC yang terkenal dengan jolokan skuad Jang juga tidak kurang hebatnya kerana dalam pusingan 16 pasukan, mereka berjaya mengharungi cabaran ‘giantkiller’, PDRM FC.
Klik Di Sini Untuk Artikel Penuh
BACA LAGI: Sarung jersi skuad Jang ‘hint’ Akhyar tak kekal bersama Terengganu
BACA LAGI: Terengganu FC mudah bawa pulang 3 mata, fans Peteh sakit hati tengok aksi Nelson Bonilla
Skuad Sang Penyu meraih kemenangan kali terakhir mereka bertemu Negeri Sembilan FC.
Ini membuktikan bahawa kedua-dua pasukan itu memiliki kualiti tersendiri menjelang aksi yang bakal diadakan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi dengan penyokong masing-masing pasti mahu mengabadikan pertembungan berkenaan.
Bagaimanapun, tidak boleh dinafikan bahawa kelebihan berpihak kepada Terengganu FC berbanding Negeri Sembilan FC meskipun kelebihan beraksi di laman sendiri bukanlah berpihak kepada kelab Pantai Timur itu.
Ini kerana terdapat tiga sebab penyokong skuad bimbingan Badrul Afzan Razali berkenaan perlu percaya kemenangan sememangnya berpihak kepada mereka berbanding pasukan tuan rumah.
1. Skuad semakin mantap
Semasa baru sahaja memikul peranan pengendali sementara skuad Sang Penyu, mereka tidak berada dalam rentak terbaik selepas mewarisi pasukan daripada Tomislav Steinbruckner.
Ini menyebabkan jurulatih muda itu berdepan kesukaran untuk membawa nafas baharu dalam Terengganu FC dengan tiada kemenangan direkodkan dalam tiga perlawanan pertamanya.
Skuad Sang Penyu tampak lebih baik ketika ini. — Facebook/Terengganu FC
Namun, selepas itu, perubahan berjaya disuntik dengan empat keputusan positif, termasuk kejayaan memalukan Melaka FC dalam pertembungan Piala Malaysia di Stadium Hang Jebat, Melaka.
Perbezaan dibawa tersebut sudah tentu cukup untuk membawa keyakinan kepada skuad Sang Penyu dalam pertembungan menentang Negeri Sembilan FC untuk menempah tiket ke separuh akhir kelak.
Sekiranya mereka tidak merekodkan kemenangan di Paroi, Badrul Afzan pasti dapat mengelakkan pasukannya daripada mengalami kekalahan yang akan meranapkan kempen dalam pertandingan bersejarah itu.
2. Prestasi tidak meyakinkan Negeri Sembilan FC
Tidak boleh dinafikan bahawa skuad Jang bergelut sepanjang musim dengan hanya dua kemenangan direkodkan dalam semua pertandingan, termasuk kejayaan menundukkan PDRM FC dalam aksi kedua Piala Malaysia.
Prestasi itu sudah cukup untuk menceritakan peluang tipis dialami skuad bimbingan K Nanthakumar itu dengan penyokong mereka sendiri tidak memiliki keyakinan sebegitu.
Skuad Jang masih belum mendapat rentak musim ini. — Facebook/Negeri Sembilan FC
Situasi sebegitu menyajikan peluang cerah buat Terengganu FC untuk layak ke pusingan seterusnya meskipun pasukan tersebut tidak boleh berasa terlalu yakin terhadap diri sendiri.
Selain itu, melihat kepada rekod pertembungan kebelakangan ini, ia sememangnya tidak berpihak kepada Negeri Sembilan FC yang hanya meraih satu kemenangan dalam lima perlawanan terakhir mereka.
Rekod terbabit sudah tentu memberi tekanan buat skuad Jang dalam aksi akan datang dengan mereka akan berdepan kesukaran untuk memperbaiki prestasi kurang memberangsangkan itu.
3. Rekod Terengganu FC dalam Piala Malaysia
Musim suram skuad Sang Penyu pada 2023 diperbaiki apabila mereka melangkah ke perlawanan akhir Piala Malaysia apabila menumpaskan Kuala Lumpur (KL) Rovers, Selangor FC dan KL City FC.
Kemaraan itu mengukuhkan status pasukan Pantai Timur itu sebagai skuad pilihan bagi kempen kali ini memandangkan mereka sememangnya cukup mahir dalam pertandingan terbabit.
Kekecewaan dirasai skuad Sang Penyu dalam perlawanan akhir Piala Malaysia 2023. — Facebook/Terengganu FC
Ini turut dibuktikan melihat kepada lima kempen terakhir Terengganu FC dalam Piala Malaysia, mereka hanya gagal melangkah sekurang-kurangnya ke pusingan separuh akhir sebanyak sekali.
Meskipun berputih mata dalam kesemua edisi terbabit, mereka menunjukkan kualiti untuk mengharungi setiap cabaran dihadapi tanpa mengira perubahan format yang dialami.
Pencapaian sedemikian sudah tentu mahu diteruskan kerana kejayaan dalam kempen kali ini boleh membantu menamatkan penantian menjulang gelaran selain menempatkan diri dalam saingan peringkat Asia musim depan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram