HADIR selaku pasukan bukan pilihan musim ini, namun Terengganu tetap mempunyai aura tersendiri untuk meraih kemenangan bergaya di laman sendiri untuk perlawanan pembukaan Piala Agong setelah menewaskan Wilayah Persekutuan (WP) Kuala Lumpur yang berakhir dengan keputusan 49-11 di Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail, Kompleks Sukan Negeri Terengganu pada Sabtu.
Beraksi dalam suasana bahang, cuaca panas tidak memberi halangan buat pasukan tuan rumah untuk mendapatkan tiga mata pertama melalui pemain flyhalf, Ahmad Aiman Asrul yang menyempurnakan tendangan penalti mudah untuk menghukum kesilapan pasukan pelawat seawal minit kedua permainan.
Terengganu di bawah kendalian ketua jurulatih, Aminuddin Sulong berjaya mencorakkan penguasaan padang untuk tambahan tiga jatuhan try, dua tendangan conversion dan tambahan satu lagi tendangan penalti, sekali gus mencipta jurang besar perlawanan.








