PENGENDALI Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee berpuas hati dengan keputusan undian Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2023/2024, yang berlangsung pada Khamis.
Kim Swee berkata, skuad Sang Badak yang diundi dalam Kumpulan H mendapat undian lebih baik, berbanding dengan dua lagi kumpulan dalam saingan Zon Asean, apabila terlepas diundi bersama kelab dari Australia.
Bagaimanapun, jurulatih berusia 52 tahun itu berkata, Sabah tidak boleh terlalu berasa selesa, selain berharap anak buahnya dapat menyesuaikan diri bagi mengharungi cabaran berbeza, apabila buat julung kali pasukan itu beraksi di pentas Piala AFC.