“PENDIDIKAN tinggi tetap menjadi keutamaan walaupun anda seorang atlet elit,” tegas atlet memanah kebangsaan, Nurul Ain Fitri Ramli, 20, yang kini melanjutkan pengajian dalam bidang Bacelor Kejuruteraan Awam dengan Kepujian di Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Selangor.
Anak kelahiran Batu Pahat, Johor itu berkata, walaupun dunia sukan menawarkan pelbagai peluang dan kejayaan, tempoh penglibatan dalam bidang tersebut tetap terhad, menjadikan pendidikan sebagai asas penting untuk masa depan.
“Jangan sesekali beranggapan jika pencapaian sukan sudah di peringkat tertinggi dan melupakan akademik. Sukan ada tempoh masanya masanya tetapi pendidikan adalah bekalan sepanjang hayat,” katanya.





