NEGERI Sembilan Antlers cipta sejarah apabila mempertahankan kejuaraan Emas Anuar Sepaktakraw League (STL) Champions Cup 2024 yang dimenangi mereka musim lalu selepas menewaskan Kuala Lumpur (KL) Thunder dengan straight set 17-15, 15-10 di Stadium MBSJ, Serdang Jaya pada Ahad (17 November).
KL Thunder yang menjejak kaki di pentas final buat kali ketiga selepas edisi 2020,2021-2022 mempertaruhkan Syahir Rosdi (Tekong), Redwan Hakim Muhammad (Apit Kanan) dan Amirul Zazwan Amir (Apit Kiri) untuk memulakan aksi di Stadium MBSJ dengan sangat agresif.
Begitupun, Antlers yang mencipta kejutan ketika mengatasi Selangor Pistons dalam aksi separuh akhir pada Sabtu (16 November) membariskan Haziq Hairul Nizam (Tekong), Zulefendi Sumari (Apit Kiri) dan Hafizul Hayazi Adnan (Apit Kanan) kembali menyusun rejaman padu untuk mendahului saingan dan membolot set pertama 17-15.





