BOLA Pegun kembali menemui pembaca. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, akan cuba berkongsi sorotan mengenai suka-duka jurulatih, pemain mahupun pasukan mengejar kejayaan dalam saingan Liga Super musim 2024/25.
KIRA-KIRA dua jam sebelum sepak mula aksi peringkat pertama suku akhir Piala FA di Stadium Negeri, Kuching pada Sabtu, kawasan sekitarnya dilanda hujan lebat dan ribut petir. Dilaporkan juga terdapat pokok tumbang di kawasan berdekatan stadium.
Peringatan turut dibuat di laman Facebook rasmi kelab itu supaya penyokong berhati-hati dalam perjalanan ke stadium.
Klik Di Sini Untuk Artikel Penuh
Hujan masih berlarutan ketika sepak mula pada pukul 8.15 malam tapi rupa-rupanya ada ‘ribut’ lebih besar yang melanda untuk menghembus keluar cabaran Selangor FC yang pulang dititipkan kekalahan 1-2 – meleburkan rekod tanpa kalah pasukan Lembah Klang itu selepas empat perlawanan musim ini.
BACA LAGI: [VIDEO] Kuching City tiada ubat, legenda Selangor pilih bek Nigeria jadi MVP
BACA LAGI: Ikut ‘morning walk’ Kuching City, bekas pemain kebangsaan sedih lihat nasib Danish
Jordan Mintah (tengah) menjaringkan gol kedua Kuching berdepan Selangor. — Kuching City FC
Tiada sesiapa boleh mengatakan ia adalah kemenangan nasib buat pasukan Kuching City FC bimbingan Aidil Sharin Sahak itu melainkan ia adalah hasil semangat sepasukan yang tinggi – pemain-pemain seolah-olah rela mematahkan kaki mereka asalkan kemenangan diraih pada penghujung 90 minit.
Apakah punca atau dorongan utama pemain-pemain Kuching City FC menyerlahkan kesungguhan seperti orang dirasuk?
Laman Facebook rasmi Kuching City FC berkongsi bahawa kata-kata azimat dalam bilik persalinan sebelum sepak mula telah menyalakan semangat sepasukan, menekankan perpaduan, ketabahan, dan kepercayaan.
Juara sejati bangkit bukan sahaja daripada kemenangan tetapi daripada perjuangan dan usaha tanpa henti mereka. Dengan semangat baharu dan barisan bersatu, pasukan bersedia untuk menghadapi pertempuran paling sukar mereka dan muncul dengan kejayaan, kongsi laman itu lagi.
“Ingat kenapa kita berada di sini,” pesan Aidil Sharin kepada pemain-pemainnya melalui video yang dikongsikan. “Pertama ialah untuk menang. Jika mereka (pasukan lawan) bersungguh-sungguh, kita bermain lebih bersungguh-sungguh lagi.
“Adalah penting untuk kita tunjukkan malam ini siapa kita sebenarnya. Jadi, berikan sehabis daya kita.
“Tidak harus ada rasa hormat (kepada lawan), di dalam padang kita berikan 100 peratus. Kita hendaklah keluar dari padang selepas selesai perlawanan dengan rasa megah.”
Presiden Kuching City FC, Fazzrudin Abdul Rahman, turut memberi ucapan ringkas kepada pemain dengan inti patinya berbunyi: “Saya mahu berkongsi dengan anda, stadium ni banyak menghasilkan sejarah kepada orang Sarawak.
“Masa saya (berusia) 13 atau 14 tahun, saya duduk kat atas tengok pasukan Sarawak mengalahkan nama-nama besar. Sudah lama Sarawak tak merasakan kenikmatan dalam kemenangan bola sepak.
“Oleh kerana Kuching City tahun ini memulakan langkah dalam liga bola sepak, ia telah mula membuahkan hasil, itulah yang sedang kita lakukan sekarang — memberi pengharapan kepada seluruh penduduk di Sarawak.
“Jadi, apabila kita keluar ke dalam (padang) stadium yang mempunyai sejarah yang besar sekali untuk orang Sarawak, dan kita menentang pasukan lain yang datang ke tempat kita, kita tahu apa nak buat kepada pasukan yg datang ke tempat kita,” katanya.
James Okwuosa menjadi nadi kepada kemenangan Kuching City. — Kuching City FC
Seterusnya, didorong oleh pekikan ketua pasukan, James Okwuosa, “Malam ini, mari kita tunjukkan tempat ini adalah igauan buat setiap pasukan pelawat”, Kuching City FC harus mengejutkan Selangor FC dengan tentangan amat bersemangat di sebalik lawan memiliki reputasi lebih besar.
Ketinggalan kepada gol Ronnie Fernandez selepas setengah jam permainan, Kuching City FC tidak mudah patah semangat, sebaliknya bangkit menyamakan kedudukan hasil jaringan Okwuosa sejurus sebelum wisel rehat.
Penyerang, Jordan Mintah, seterusnya tidak pun mengucapkan terima kasih ketika pertahanan pelawat, Sharul Nazeem Zulpakar, mendada bola kepadanya untuk dia mudah menolak masuk gara-gara kekeliruan dengan penjaga gol, Sam Somerville, pada minit ke-64.
Sejumlah empat kad kuning – dua buat setiap pasukan — yang dilayangkan pengadil dalam tempoh 20 minit pertama permainan menceritakan tahap kesengitan dalam pertembungan ini.
Silap besar jika Selangor FC ada menaruh keyakinan keterlaluan ke atas Kuching FC yang mengikat dua pasukan besar di Stadium Negeri sebelum ini – seri 2-2 dengan Sri Pahang FC pada 19 Mei dan 1-1 dengan Terengganu FC pada 22 Jun – untuk Gergasi Merah itu pulang dengan kekalahan.
Ketua jurulatih Selangor FC, Nidzam Jamil, optimis dengan peluang pasukannya untuk bangkit daripada kekecewaan dalam aksi timbal balik di Stadium MBPJ, Sabtu ini.
”Ini adalah panggilan untuk mengejutkan kita. Sudah tentulah kalah 2-1 di tempat lawan tetapi saya rasa kita ada peluang untuk tebus balik minggu hadapan. Kita perlu positif tentang hal ini.
”Sudah tentulah di separuh masa pertama dan kedua ada kesilapan yang menyebabkan gol. Akan tetapi inilah bola sepak, kita perlu jangkakan perkara-perkara macam ini juga. Kita akan kenal pasti dan kembali lebih baik,” katanya kepada Astro Arena.
Aidil Sharin pula berkata pasukannya perlu memperbaiki beberapa kelemahan sekiranya mahu melangkah lebih jauh dalam saingan Piala FA.
“Kredit kepada semua pemain kerana mereka bermain dengan baik. Kami tahu Selangor pasukan besar, lengkap dengan pemain tempatan dan import yang bagus.
“Pemain mengikut perancangan dan kami mendapat hasil yang baik. Sudah pasti ini baru aksi pertama dan perlu perbaiki lagi kesilapan. Kalau nak ke depan, kami mesti bermain lebih bersemangat dan lebih baik dari hari ini,” katanya.
Jika semangat juang seperti malam tadi mampu diulangi, tiada siapa boleh menidakkan peluang Kuching City FC untuk melanjutkan kejutan dengan kemaraan ke separuh akhir. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram