KLINIK STL yang diadakan pada musim ini berjaya menarik penyertaan hampir 2,000 penyertaan membabitkan lima lokasi termasuk di sekolah dan lokasi terpilih sepanjang jelajah Liga Sepak Takraw (STL) berlangsung.
Program pembangunan bakat tersebut adalah inisiatif kelestarian Astro Arena Bersama Astro Kasih dalam memupuk minat serta mencungkil bakat-bakat muda dalam sukan sepak takraw.
Ketua Kakitangan Astro dan Ketua Prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), Foo Su Lynn berkata, Astro bukan hanya sekadar ‘Home of Sports’ dengan menyiarkan kejohanan atau temasya sukan terbaik untuk rakyat Malaysia menonton dan bersorak tetapi juga komited dalam memperkasa program pembangunan sukan akar umbi.







