LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) memaklumkan bahawa pihaknya masih belum menerima sebarang pengesahan rasmi mengenai venue gelanggang tuan rumah bagi pasukan Imigresen FC menjelang musim baharu saingan liga.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Mohd Shazli Shaik Mohd berkata, sehingga kini pihak sekretariat badan berkenaan masih menunggu makluman rasmi daripada pihak pengurusan Imigresen FC meskipun telah menghubungi kelab itu lebih awal.
Menurutnya, MFL turut menyedari terdapat petunjuk bahawa Imigresen FC sedang berusaha menggunakan Stadium Tuanku Syed Putra (STSP) di Kangar, Perlis sebagai lokasi tuan rumah, namun sekali lagi menegaskan tiada surat rasmi yang dihantar setakat ini.






