TERENGGANU Football Club Sdn. Bhd. (TFCSB) terus mengambil langkah proaktif dalam memperkukuh kerjasama di peringkat antarabangsa apabila mengadakan pertemuan rasmi bersama pengurusan Persija Jakarta pada Selasa lalu di Jakarta, Indonesia.
Delegasi TFCSB diketuai Ketua Pegawai Eksekutif, Sheikh Farouk Sheikh Mohamed Al-Bajrai bersama Ketua Pegawai Operasi, Mohd Syahrizan Mohd Zain, manakala kelab dari Indonesia itu diwakili Presiden, M. Prapanca dan Pengarah Sukan, Bambang Pamungkas.
Pertemuan dua hala itu memberi fokus kepada pelbagai aspek pembangunan bola sepak termasuk pembangunan bakat muda, pertukaran kepakaran dalam bidang kejurulatihan, penganjuran aksi persahabatan antarabangsa serta penerokaan peluang komersial yang berpotensi untuk dimanfaatkan oleh kedua-dua kelab.








