LEGENDA bola sepak tanah air, Joseph Kalang Tie menyuarakan keyakinan bahawa Kuching City FC mampu mencipta kejutan ke atas juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT).
The Cats akan berdepan juara bertahan, Harimau Selatan dalam saingan Liga Super 2024 di Stadium Negeri, Kuching pada Rabu.
Beraksi di gelanggang sendiri, Joseph menyifatkan ia sebagai peluang terbaik buat anak-anak buah Aidil Sharin Sahak untuk mengutip tiga mata penuh.
Klik Di Sini Untuk Artikel Penuh
BACA LAGI: ‘Bukan rezeki kami di Kedah’, Syafiq Ahmad beri hint tinggalkan Sang Kenari buat kali ke-3
BACA LAGI: Hampir pasti tinggalkan Sabah, Saddil ada 2 destinasi pilihan termasuk kembali ke pangkuan OKS
Menjelang pertembungan getir itu, Kuching City tampil dengan keyakinan tinggi selepas mencatat empat kemenangan berturut-turut dalam saingan liga.
Walaupun menyedari JDT merupakan lawan yang sangat sukar, Joseph percaya segala kemungkinan tetap terbuka dalam perlawanan bola sepak.
“Kita semua tahu berdepan dengan JDT memang sukar, tapi dalam bola sepak, keputusan akhir tidak boleh dijangka.
“JDT adalah pasukan yang kuat, lebih-lebih lagi dengan beraksi dalam saingan ACLE, dari segi pengalaman, mereka memang pasukan yang sangat hebat,” katanya kepada Majoriti.
Anak-anak buah Aidil Sharin dilihat cukup bersedia untuk menghadapi ujian getir menentang JDT. — Facebook/Kuchingcityfc
Menurut anak jati Miri, Sarawak itu, dalam tempoh 90 minit permainan segala-galanya boleh berlaku.
Walaupun ramai menganggap JDT sebagai pasukan pilihan, namun tiada yang mustahil jika Kuching City mengekalkan momentum cemerlang mereka.
“Namun, dalam bola sepak, kita tidak boleh hanya melihat di atas kertas kerana selagi perlawanan belum tamat, kita tidak tahu apa yang akan berlaku.
“Semua orang boleh membuat ramalan, tetapi keputusan sebenar hanya dapat ditentukan selepas 90 minit permainan. Kita sering melihat pasukan seperti JDT di atas kertas begitu kuat, tetapi apa-apa boleh berlaku,” ujarnya.
Joseph turut mengingatkan bahawa Kuching City sudah pun membuktikan keupayaan mereka apabila berjaya mengejutkan naib juara Liga Super Selangor FC (2-1), yang sinonim dengan prestasi konsisten di peringkat tertinggi.
“Lihat sahaja ketika Kuching City menewaskan Selangor baru-baru ini. Ramai tak sangka, sebab Selangor pun tengah berada dalam prestasi baik. Tapi Kuching berjaya mencipta kemenangan,” jelasnya.
Sebahagian sesi latihan skuad Harimau Selatan menjelang perlawanan bertemu The Cats. — Facebook/JST
Tambahnya, keputusan perlawanan tidak boleh dijangka walaupun statistik menunjukkan kelebihan pada satu pasukan. Jika hari itu bukan milik JDT, apa saja boleh berlaku, sama seperti kekalahan mengejut Selangor tempoh hari.
“Tengok saja ketika Kuching City berjaya mengejutkan Selangor FC baru-baru ini. Ia benar-benar mengejutkan, kerana Selangor sedang berada dalam momentum yang baik, namun Kuching berjaya mencatatkan kemenangan.
“Kita tidak boleh meramalkan apa yang akan terjadi dalam bola sepak. Meskipun kita boleh melihat kekuatan pasukan melalui statistik, hari yang tidak baik boleh mempengaruhi mana-mana pasukan.
“Sama seperti Selangor yang kalah kepada Kuching, mungkin hari itu bukan hari mereka. Begitu juga dengan JDT, siapa tahu jika hari mereka bukan hari yang terbaik,” ujarnya.
Sehubungan itu, Joseph berharap agar skuad Kuching City dapat tampil dengan aksi terbaik ketika berdepan cabaran besar ini.
“Walaupun mungkin ada yang menganggap seri dengan JDT adalah kejayaan, namun yang penting adalah kita fokus kepada pasukan sendiri.
“Pengalaman dalam bola sepak mengajar kita bahawa segala kemungkinan boleh berlaku di atas padang. Yang penting, kita berusaha dan beri yang terbaik,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram