SEPERTI bukan kebiasaan buat Harimau Malaya apabila dikhabarkan hanya menguji pasukan Liga Super sebagai persediaan sebelum dua perlawanan Kumpulan D kempen kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 pada Jun ini.
Harimau Malaya dijadualkan bakal beradu kekuatan dengan Kyrgyzstan pada 6 Jun di tempat lawan sebelum melayan kunjungan Taiwan di Stadium Nasional Bukit Jalil, lima hari kemudian.
Berdasarkan laporan Harian Metro, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Noor Azman Rahman memaklumkan bahawa pihaknya tidak dapat mengatur aksi persahabatan dengan pasukan negara lain kerana masih berada di luar kalendar Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa).