PEMAIN beregu lelaki, Nur Izzuddin Rumsani, yakin terhadap peluang Malaysia untuk meraih mata dalam acara beregu lelaki di Piala Sudirman yang akan bermula pada Ahad (27 April) di Xiamen, China.
Keyakinan Izzuddin berpunca daripada hakikat bahawa negara mempunyai tiga pasangan beregu lelaki dalam kelompok 10 terbaik dunia dalam kejohanan berkenaan.
Izzuddin dan pasangannya, Goh Sze Fei yang kini menduduki ranking nombor dua dunia, akan menerajui cabaran Malaysia dan akan mendapat sokongan kukuh daripada pasangan ranking nombor empat dunia dan juara Asia ketika ini, Aaron Chia-Soh Wooi Yik serta pasangan ranking nombor tujuh dunia, Man Wei Chong-Tee Kai Wun.







