PENGENDALI Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz tampak enggan mengulas lanjut mengenai tiga pemain warisan Harimau Malaya yang beraksi bersama kelab itu dan dikenakan penggantungan 12 bulan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Namun, jelas pengendali berusia 45 tahun itu, Harimau Selatan kini mengalihkan tumpuan sepenuhnya kepada aksi untuk meraih kemenangan pertama dalam Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) bertemu gergasi Jepun, Machida Zelvia di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri, Johor pada Selasa.
Seperti sedia maklum, FIFA mengenakan hukuman kepada tujuh tonggak skuad kebangsaan termasuk tiga sandaran utama Harimau Selatan, Jon Irazabal, Hector Hevel dan Joao Figueiredo atas dakwaan pemalsuan dokumen sebelum mereka menyarung jersi Harimau Malaya.





